Muzik Tradisi Tari Rakyat Perak: Suatu Pendekatan Etnomuzikologi
(Music Tradition In Perak Traditional Dances: An Ethnomusicological Approach)
Keywords:
Muzik Tradisional Perak, Tarian Dabus, Tarian Bubu, Tarian Lotah, Muzik Tarian MelayuAbstract
Negeri Perak merupakan sebuah negeri yang kaya dengan khazanah seni dan mempunyai pelbagai bentuk kesenian seperti tarian, silat dan sebagainya yang masih diwarisi sehingga kini khususnya di kalangan orang-orang Melayu. Oleh itu satu kajian perlu diadakan berkaitan muzik tradisi tari rakyat negeri Perak. Tujuan penyelidikan ini adalah untuk mengkaji jenis, bentuk dan fungsi dalam muzik tradisi tari negeri Perak. Berasaskan kepada tujuan ini pengkaji telah melaksanakan kajian menggunakan pendekatan kualitatif dari sudut etnomuzikogi. Kaedah pemerhatian berserta telah diguna pakai semasa pengumpulan data di lapangan. Lokasi kajian yang menjadi tumpuan utama adalah di Tanjong Bidara, Mukim Pulau Tiga, Kampong Gajah, Teluk Intan, Perak. Pengumpulan data di lapangan menggunakan instrument temu bual, rakaman video, rakaman audio multi-tracking dan imeg pegun. Hasil penyelidikan mendapati tiga jenis tarian yang masih dipersembahkan di negeri Perak iaitu Tarian Dabus, Tarian Bubu dan Tarian Lotah. Di antara ketiga-tiga tarian ini, Tarian Dabus masih dianggap paling dominan dan terkenal dengan masyarakat Perak. Fungsi ketiga-tiga persembahan tarian ini sebagai hiburan semasa perkahwinan dan majlis-majlis rasmi. Hasil penyelidikan dijangka dapat memberi informasi tentang muzik tarian yang masih diamalkan dan dipersembahkan di negeri Perak dan juga diharap dapat dimanfaatkan oleh generasi seterusnya dalam melestarikan satu bentuk kesenian yang amat tinggi nilainya.