Pengajaran Yang Ditonton: Kesan tayangan instruksi audio visual terhadap pembelajaran caklempong di sekolah menengah
Keywords:
audio visual, caklempong, instruksi, ketepatan masa, ketepatan nada, nilai-nilai murniAbstract
Apakah bahan rakaman audio visual akan membawa posibiliti atau kekangan yang baru kepada pendidikan muzik tradisional di negara ini yang sedang mengalami masalah kekurangan tenaga pengajar? Untuk meneliti kesan instruksi audio visual, kajian ini telah menggunakan pendekatan kuasi eksperimental yang melibatkan eksperimen pengajaran, analisis bunyi, soal selidik serta diskripsi kelakuan. Seramai 20 orang pelajar untuk Kumpulan Eksperimen dan 20 orang pelajar lagi untuk Kumpulan Kawalan telah menyertai sesi eksperimen untuk mempelajari cara bermain melodi lagu Dikir Putri pada gereteh. Walaupun tiada perbezaan yang ketara antara corak kesalahan, kumpulan pelajar yang belajar melalui audio visual didapati melakukan lebih banyak kesalahan dari segi penguasaan nada. Namun mereka adalah lebih seimbang dari segi penguasaan masa; dan ini mencerminkan keperluan seseorang pelajar untuk menyesuaikan diri terhadap pengajaran yang ditayang. Kumpulan yang tidak menonton tayangan mendahului kumpulan yang menonton dalam penerapan nilai-nilai murni seperti bekerjasama dan saling membantu. Namun begitu, kumpulan audio visual menunjukkan perubahan minat yang amat ketara, yang menunjukkan tayangan audio visual adalah berkesan dalam menarik perhatian serta memupuk minat pelajar. Akhirnya, satu konsep yang dinamakam ‘pembingkaian’ (framing) isi pengajaran dibangkitkan. Apabila suatu isi pengajaran muzik itu diubah bentuk atau dibingkaikan ke dalam audio visual, cara pembelajaran yang berubah mempunyai kekuatan dan kekurangan yang tertentu. Kajian lanjut dalam topik yang sama amat diperlukan supaya mekanisme pengajaran muzik secara audio visual boleh dikenalpasti dengan lebih komprehensif.